Hubungi Kami

Pemetaan Budaya

EN BM

PERUBATAN TRADISIONAL MELAYU: PRINSIP ASAS

Pengamalan perubatan dalam masyarakat Melayu telah wujud dan berkembang sejak berzaman dahulu lagi. Pada pandangan umum kaedah perubatan tradisional ini menjurus kepada jampi serapah atau mantera. Hal ini berkaitan dengan kepercayaan masyarakat dahulu kepada semangat (spirit) atau penunggu iaitu makhluk halus, jin, syaitan, iblis, hantu dan lain-lain yang mengganggu atau menyebabkan penyakit. Namun doa, serapah, jampi, mantera atau azimat hanyalah sebahagian daripada usaha penyembuhan. Kitab Bustanus Salatin iaitu satu daripada kitab perubatan Melayu yang ditulis oleh Syeikh Nuruddin Ar-Raniri pada tahun 1638 telah mentakrifkan perubatan sebagai “pengetahuan akan segala hal badan insan, dan memeliharakan sihat tubuh, lagi menyembuhkan segala penyakit daripada segala wujud”. Ini menunjukkan perubatan tradisional Melayu menitik beratkan kaedah mengenal dan mengesan penyakit. Perubatan tradisional juga tidak hanya memfokuskan kepada usaha penyembuhan penyakit tetapi bagaimana mengekalkan kesihatan badan dan juga pemahaman berkaitan anatomi dan juga fisiologi badan.


Usaha penyembuhan penyakit melibatkan penggunaan ramuan ubatan (materia medika) yang lazimnya berasaskan kepada tumbuhan, haiwan dan bahan galian. Pada asasnya, perubatan tradisional Melayu mengaitkan empat unsur yang terdapat di bumi juga terdapat dalam badan manusia iaitu tanah, air, angin dan api. Setiap daripada unsur ini mempunyai sifatnya tersendiri. Tanah bersifat sejuk dan kering, air bersifat sejuk dan basah, angin bersifat panas dan basah dan api bersifat panas dan kering. Keseimbangan kesemua unsur ini penting bagi menjamin kesihatan manusia. Pengamal perubatan tradisional akan mengenal pasti penyakit dan mencari ubatan mengikut jenis dan sifatnya. Bagi mengenali tumbuhan pula jenis rasa digunakan iaitu pahit, masin, masam, kelat, pedas dan manis. Setiap jenis rasa ini dikaitkan dengan unsur dan sifat yang berbeza. Contohnya kelat dikaitkan dengan tanah dan angin yang mempunyai sifat panas, kering dan berat. Jenis rasa dan sifat tumbuhan ini akan dikaitkan dengan tindakan dalam penyembuhan sesuatu penyakit. Daripada pengetahuan asas ini pengamal perubatan tradisional dapat memilih bahan yang betul untuk menghasilkan ubat yang berkesan.


Selain daripada ramuan ubatan, kaedah penyediaan juga merupakan elemen yang penting bermula daripada kaedah pengambilan bahan ubatan, bahagian tumbuhan yang diambil, seterusnya pemprosesan bahan dan disusuli dengan kaedah pengambilan ubatan. Kaedah penggunaan ubatan yang disediakan bergantung kepada jenis penyakit, tahap penyakit dan tujuan penggunaannya.


Perubatan tradisional ini juga melibatkan petua dan pantang larang. Petua dan pantang larang meliputi semua aspek dalam kehidupan misalnya makan, minum, tidur, berkeluarga, bekerja dan sebagainya. Ini menunjukkan perubatan tradisional tidak hanya mengubati simptom, merawat punca penyakit, mencegah daripada dijangkiti semula tetapi turut memastikan gaya hidup yang sihat.


Perubatan tradisional termasuk perubatan tradisional Melayu turut dikawal selia di bawah Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 (Akta 775). Di bawah akta ini perubatan tradisional dan komplementari ditafsirkan sebagai suatu bentuk amalan yang berkaitan dengan kesihatan bertujuan untuk mencegah, merawat atau mengurus penyakit atau sakit atau memelihara kesejahteraan fizikal atau mental individu dan termasuk amalan seperti perubatan tradisional Melayu, perubatan tradisional Cina, perubatan tradisional India, pengubatan Islam, homeopati dan terapi komplementari tetapi tidak termasuk amalan perubatan dan pergigian yang masing-masing digunakan oleh pengamal perubatan dan pengamal pergigian.


SUMBER/ PENULIS: Pasukan Penyelidikan Pengetahuan Tradisi, FRIM (Dr Nik Musa’adah Mustapha)


PENAFIAN: Artikel ini merupakan sebahagian daripada usaha mendokumentasikan perubatan tradisional dan penggunaan tumbuhan ubatan dalam kalangan masyarakat Melayu dan orang asli. Artikel ini bukan pengesahan tumbuhan dan cara penggunaan sebagai preskripsi untuk merawat sebarang penyakit. Tiada sebarang kajian saintifik dijalankan untuk mengesahkan keberkesanan dan keselamatannya dan juga kesahihan preskripsi yang direkodkan. Pembaca dan pengguna digalakkan untuk merujuk pegawai perubatan dan pengamal perubatan tradisional yang berdaftar sebelum menggunakan tumbuhan ubatan untuk melegakan sebarang simptom atau keadaan kesihatan. Penulis tidak bertanggungjawab atas sebarang penggunaan tumbuhan ubatan atau kesan sampingan yang memudaratkan pengguna.


Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

52109 Kepong, Selangor

Tel: +603-6279 7000

e-mel: [email protected]


Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2022 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768