Hubungi Kami

Pemetaan Budaya

EN BM

PENGAMAL PERUBATAN TRADISIONAL MELAYU

Pengamal perubatan tradisional Melayu mempunyai peranan dan pengaruh tersendiri dalam kalangan masyarakat. Kebanyakan ilmu diperoleh daripada kaedah menuntut, bertapa, dan kadangkala melalui ilham atau mimpi. Terdapat pelbagai nama atau gelaran terhadap para pengamal ini berdasarkan kepada kepandaian, kebolehan atau kepakarannya dalam mengubati sesuatu jenis penyakit termasuklah berkaitan perkara mistik atau spiritual.

Dalam kalangan masyarakat Melayu, gelaran bomoh, pawang dan dukun merupakan nama yang tidak asing lagi. Pawang seringkali dikaitkan dengan perubatan mistik, kuasa ghaib, jampi, mantera, azimat serta tangkal. Manakala bomoh atau dukun mempunyai pengkhususan tersendiri dalam merawat penyakit terdiri daripada bomoh diraja, bomoh akar kayu, bomoh patah, tukang urut, tukang bekam, bidan dan mudim. Mereka dikenali sebagai perawat tradisional menggunakan rawatan cara kampung dengan menggunakan pelbagai sumber alam seperti tumbuhan ataupun haiwan di samping penggunaan jampi. Bagi sesetengah jenis penyakit, ritual atau upacara perawatan turut dilakukan seperti main peteri (Kelantan), mak yong (Kedah/utara semenanjung), ulik mayang, main bageh, main mok pek, disertai dengan penggunaan tangkal serta petua dan pantang larang yang perlu dipatuhi. Sebagai kaedah membayar khidmat pengamal perubatan tradisional, wang atau apa sahaja yang diminta perlu disediakan oleh pesakit yang disebut sebagai pengeras.

Kini, variasi pengamal perubatan tradisional Melayu tidak lagi terhad kepada institusi bomoh, pawang dan dukun sahaja, malah rawatan perubatan Islam yang dilakukan oleh ahli agamawan seperti imam, bilal, hafiz, ustaz dan ustazah turut menjadi pilihan alternatif bagi merawat pelbagai penyakit terutama melibatkan spiritual.


SUMBER/ PENULIS: Pasukan Penyelidikan Pengetahuan Tradisi, FRIM (Intan Nurulhani Baharuddin)


PENAFIAN:
Artikel ini merupakan sebahagian daripada usaha mendokumentasikan perubatan tradisional dan penggunaan tumbuhan ubatan dalam kalangan masyarakat Melayu dan orang asli. Artikel ini bukan pengesahan tumbuhan dan cara penggunaan sebagai preskripsi untuk merawat sebarang penyakit. Tiada sebarang kajian saintifik dijalankan untuk mengesahkan keberkesanan dan keselamatannya dan juga kesahihan preskripsi yang direkodkan. Pembaca dan pengguna digalakkan untuk merujuk pegawai perubatan dan pengamal perubatan tradisional yang berdaftar sebelum menggunakan tumbuhan ubatan untuk melegakan sebarang simptom atau keadaan kesihatan. Penulis tidak bertanggungjawab atas sebarang penggunaan tumbuhan ubatan atau kesan sampingan yang memudaratkan pengguna.



Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

52109 Kepong, Selangor
Tel: +603-6279 7000
e-mel: [email protected]

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2022 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768