Hubungi Kami

Pemetaan Budaya

EN BM

KITAB TIB

Ilmu berkaitan perubatan Melayu telah lama wujud dan lazimnya diwarisi dari generasi ke generasi secara lisan. Walau bagaimanapun terdapat sebilangan manuskrip yang mangandungi catatan dan penulisan berkenaan ilmu perubatan yang menjadi bukti kearifan masyarakat Melayu dalam bidang ini sejak berzaman dahulu. Manuskrip perubatan Melayu ini juga dikenali sebagai kitab tib.


Kitab tib bermaksud 'kitab ubat', 'kitab perubatan' atau 'ilmu perubatan'. Perkataan 'tib' adalah perkataan bahasa Arab yang bermaksud 'ubat', 'tukang ubat',  'perubatan', 'surat ubat' (wasfatu’t-tabib) atau 'ilmu perubatan' (ilmut’tab).


Pada dasarnya kitab tib adalah catatan berkenaan ilmu perubatan tradisional Melayu yang merangkumi antaranya perkara berkenaan pengenalan kepada ilmu tabib, petua-petua umum untuk penjagaan kesihatan diri, jenis-jenis penyakit sama ada penyakit yang berhubung jin dan syaitan atau penyakit umum, bahan dan khasiatnya untuk pengubatan dan pemakanan. Selain itu terdapat juga naskhah yang turut membicarakan hal-hal lain iaitu bidang yang berkaitan rejang, raksi dan cuca iaitu bidang yang tergolong dalam ilmu nujum dan ramalan dan ilmu tanaman.


Terdapat sekitar 100 buah kitab tib tersimpan dalam pelbagai koleksi di serata dunia antaranya ialah di Perpustakaan Negara Malaysia, Dewan Bahasa & Pustaka, muzium negeri, perpustakaan universiti serta terdapat juga koleksi di luar negara seperti di Jakarta, Leiden dan London.


Kitab tib terdiri dari pelbagai bentuk, saiz dan keadaan, antaranya mempunyai saiz helaian kertas yang besar dalam bentuk lipatan contohnya manuskrip MSS 1073 ditulis pada kertas besar yang dilipat dalam bentuk akordian, MSS 1078 ditulis di atas kulit kambing dan MSS 1496 ditulis di atas kepingan buluh. Gaya bahasa Melayu yang digunakan adalah dari zaman pertengahan, iaitu tidak terlalu purba atau kuno. Kitab tib ini ditulis tangan dalam tulisan jawi yang terhasil seawal sekitar abad ke-15 hingga ke-16 dan selewat-lewatnya pada awal abad ke-20. Kebanyakan kitab tib ini disalin untuk digunakan sebagai manual atau rujukan para bomoh atau pengamal perubatan tradisional dahulu.


Kitab tib mempunyai ciri-ciri yang unik dalam skop pembicaraan atau isi kandungannya. Selain dalam bentuk prosa, penyampaiannya juga terdapat dalam bentuk syair contohnya 'Syair Laksana Kita' yang terdapat dalam MSS 2590 dan juga dalam bentuk hikayat seperti yang terdapat dalam MSS 1792 yang berjudul 'Hikayat Nurul-Lisan Menjawab Masalah'. Kitab tib turut membincangkan tentang penyakit yang berkaitan spiritual contohnya penyakit yang disebabkan gangguan makhluk halus, sihir, perhubungan lelaki dan perempuan dan sebagainya selain daripada perihal sakit biasa seperti demam, penyakit kulit dan lain-lain yang boleh dilihat secara fizikal. Pembicaraan berkenaan teknik penyembuhan yang melibatkan kaedah menganalisis tanda-tanda fizikal dalam mendiagnosis penyakit dan juga kaedah spiritual seperti kaedah 'menurun' dan bantuan rohani.


Kitab tib ini menjadi lebih istimewa kerana banyak membicarakan tentang ramuan ubatan atau bahan untuk merawat penyakit. Ramuan ubatan yang sering digunakan adalah berasaskan sumber semula jadi flora dan fauna seperti akar-akar kayu, daun-daun, bahagian-bahagian dari binatang seperti hempedu landak, kulit ayam, susu kambing, kulit kijang dan sebagainya. Disamping itu, terdapat juga penawar yang disertakan doa, jampi, tangkal dan azimat, serta rajah dan formula tertentu. Perincian berkenaan perbicaraan penawar juga meliputi unsur petua dan pantang larang yang perlu dipatuhi oleh pesakit dan ianya amat sinonim dalam ilmu perubatan tradisional Melayu.


Secara keseluruhannya kitab tib dianggap satu sumber rujukan yang penting kerana memperlihatkan kearifan masyarakat Melayu dalam mengenal pasti dan merawat penyakit. Usaha memartabatkan ilmu perubatan Melayu adalah penting dalam memastikan kesinambungan tradisi dan ilmu yang disampaikan tidak ditelan zaman. Sehingga kini terdapat beberapa naskhah kitab tib yang telah ditransliterasi atau dirumikan serta dianalisis bagi memudahkan pembacaan dan menggalakkan kajian lanjutan berkaitan perubatan tradisional Melayu yang terkandung dalam kitab tib tersebut.


SUMBER/ PENULIS: Pasukan Penyelidikan Pengetahuan Tradisi, FRIM (Abdul Hayat Mat Saad, Norbaiah Mat Yaacob & Md Azharulzaman Mohamed Said)


PENAFIAN: Artikel ini merupakan sebahagian daripada usaha mendokumentasikan perubatan tradisional dan penggunaan tumbuhan ubatan dalam kalangan masyarakat Melayu dan orang asli. Artikel ini bukan pengesahan tumbuhan dan cara penggunaan sebagai preskripsi untuk merawat sebarang penyakit. Tiada sebarang kajian saintifik dijalankan untuk mengesahkan keberkesanan dan keselamatannya dan juga kesahihan preskripsi yang direkodkan. Pembaca dan pengguna digalakkan untuk merujuk pegawai perubatan dan pengamal perubatan tradisional yang berdaftar sebelum menggunakan tumbuhan ubatan untuk melegakan sebarang simptom atau keadaan kesihatan. Penulis tidak bertanggungjawab atas sebarang penggunaan tumbuhan ubatan atau kesan sampingan yang memudaratkan pengguna.



Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

52109 Kepong, Selangor
Tel: +603-6279 7000
e-mel: [email protected]

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2022 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768