Hubungi Kami

Pemetaan Budaya

EN BM

MAJUN

Majun berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud ubat. Majun merupakan sediaan herba yang diolah daripada campuran beberapa jenis herba dan rempah ratus yang dibentuk seperti bebola kecil dan dimakan untuk tujuan penjagaan kesihatan badan. Selain untuk kesihatan umum bagi lelaki mahupun wanita, majun dipercayai dapat mengurangkan kelesuan dan melegakan sakit-sakit badan. Bagi wanita di dalam pantang selepas bersalin, majun adalah salah satu daripada ubat penting selain jamu dan ubat periuk untuk memulihkan tenaga dan mengembalikan keperawanan.


Majun biasanya terdiri daripada campuran pelbagai bahagian tumbuhan herba seperti akar, daun dan rizom. Antara herba yang sering digunakan ialah halia bara (Zingiber officinale var rubrum), cekur (Kaempferia galanga), kunyit (Curcuma longa), serai (Cymbopogon citratus) dan daun sirih (Piper betle). Manakala rempah ratus yang sering dijadikan ramuan majun termasuklah lada hitam (Piper nigrum), buah pala (Myristica fragrans), jintan manis (Pimpinella anisum), biji ketumbar (Coriandrum sativum) dan kayu manis (Cinnamomum verum).


Untuk menyediakan majun, ramuan dicencang, dijemur dan dikisar halus. Ada juga yang disangai sebelum dikisar, madu lebah dan minyak dicampurkan mengikut nisbah tertentu bagi membolehkan ia digentel menjadi bebola kecil. Kebiasaanya, majun diambil mengikut saranan pengamal sama ada sebiji, dua atau tiga biji sehari atau mengikut keperluan tertentu.



SUMBER/ PENULIS: Pasukan Penyelidikan Pengetahuan Tradisi, FRIM (Rohana Sahdan)


PENAFIAN: Artikel ini merupakan sebahagian daripada usaha mendokumentasikan perubatan tradisional dan penggunaan tumbuhan ubatan dalam kalangan masyarakat Melayu dan orang asli. Artikel ini bukan pengesahan tumbuhan dan cara penggunaan sebagai preskripsi untuk merawat sebarang penyakit. Tiada sebarang kajian saintifik dijalankan untuk mengesahkan keberkesanan dan keselamatannya dan juga kesahihan preskripsi yang direkodkan. Pembaca dan pengguna digalakkan untuk merujuk pegawai perubatan dan pengamal perubatan tradisional yang berdaftar sebelum menggunakan tumbuhan ubatan untuk melegakan sebarang simptom atau keadaan kesihatan. Penulis tidak bertanggungjawab atas sebarang penggunaan tumbuhan ubatan atau kesan sampingan yang memudaratkan pengguna.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

52109 Kepong, Selangor
Tel: +603-6279 7000
e-mel: [email protected]

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2022 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768