Hubungi Kami

Pemetaan Budaya

EN BM

BERTUNGKU

Bertungku merupakan satu daripada amalan utama dalam rawatan tradisional Melayu selepas bersalin. Bertungku merupakan bentuk urutan dengan menggunakan pemberat atau pemampatan panas (hot compression) pada titik urutan atau bahagian luar badan iaitu di sekitar kawasan peranakan.  Penggunaan tungku juga dianggap kaedah terapi panas iaitu dengan menggunakan haba dalam bentuk pendedahan secara lansung pada titik urutan tertentu. Amalan bertungku ini dikatakan dapat membantu dalam menyembuhkan, mengecutkan dan membetulkan kedudukan peranakan/rahim; memecahkan lemak, mengembalikan kecantikan kulit perut, melancarkan aliran darah, membuang angin dan seterusnya mempercepatkan proses penyembuhan. Lazimnya tungku yang digunakan mempunyai permukaan yang licin dan berbentuk sama ada lonjong, rata, bujur atau membulat. Terdapat beberapa jenis tungku yang digunakan dalam amalan perubatan tradisional Melayu iaitu:


Tungku batu
Tungku batu merujuk kepada batu sungai iaitu tungku yang diperoleh dari sumber semula jadi. Kebiasaannya batu sungai dipilih berdasarkan berat dan rupa bentuknya supaya bersesuaian dengan rawatan dan mudah dipegang semasa digunakan.


Tungku besi
Tungku besi adalah tungku buatan yang diperbuat daripada logam dan berbentuk oblong atau seakan-akan lonjong dan mempunyai pemegang. Tungku besi lebih mudah didapati dan dijual dalam pelbagai jenis saiz mengikut berat iaitu sekitar 1.6–4.2 kg bagi kegunaan orang dewasa.


Tungku peluru besi
Selain tungku besi, tungku peluru besi juga adalah tungku buatan yang berasaskan logam. Tungku ini turut dikenali sebagai tungku besi bulat dan terdapat dalam pelbagai saiz mengikut berat iaitu sekitar 0.8–2 kg. Tungku ini kerap digunakan di kawasan pantai timur, terutamanya di Terengganu.


Tungku herba
Tungku herba dikatakan lebih banyak digunakan masa kini disebabkan ianya lebih mudah didapati dan juga digunakan. Tungku herba merupakan jenis tungku yang dihasilkan daripada campuran pasir atau batu kecil bersama beberapa jenis herba terpilih yang telah dikeringkan dan disatukan di dalam kain dan kemudiannya diikat dengan kemas. Seperti tungku jenis lain juga, tungku herba boleh digunakan berulang kali dengan cara penyimpanan yang betul. Tungku jenis ini juga turut digunakan untuk kegunaan rawatan bayi, bezanya saiz tungku herba untuk kegunaan bayi lebih kecil.



Secara amnya tumbuhan merupakan bahan utama yang diperlukan dalam amalan bertungku. Kajian mendapati hampir 50 spesies jumlah tumbuhan telah digunakan dalam amalan bertungku. Campuran dan bilangan jenis tumbuhan yang digunakan pula adalah berbeza mengikut amalan dan lokasi. Lazimnya 1–8 spesies tumbuhan digunakan dalam amalan bertungku, antara spesies tumbuhan yang paling kerap digunakan ialah mengkudu (Morinda citrifolia), lengkuas (Alpinia galanga), kapal terbang (Chromolaena odorata), bunga tahi ayam (Lantana camara), pandan (Pandanus amaryllifolius), pisang (Musa sp) dan jarak (Jatropha curcas).



Bahagian daun merupakan bahagian tumbuhan yang lazim digunakan dalam sediaan bertungku. Walau bagaimanapun terdapat juga bahagian rizom atau akar digunakan bagi sesetengah spesies, contohnya kunyit (Curcuma longa). Rizom kunyit akan ditumbuk lumat terlebih dahulu, dicampurkan dengan minyak kelapa dan disapukan di bahagian badan sebelum bertungku, manakala daunnya dijadikan pelapik atau pembalut pada batu tungku.



Kaedah penyediaan dan amalan bertungku tidaklah terlalu rumit, kesemua jenis tungku yang akan digunakan perlu dipanaskan selama 15–20 minit, secara tradisionalnya batu tungku dipanaskan menggunakan dapur kayu atau dapur berdiang. Tungku yang telah dipanaskan akan dibungkus di dalam kain yang telah dialaskan dengan beberapa helaian daun segar. Kebiasaannya kuantiti helaian daun yang digunakan adalah bergantung mengikut saiz tungku. Manakala bagi tungku herba ianya dipanaskan dengan kaedah merebus atau mengukus sebelum digunakan.



Tungku yang telah disediakan akan dituam pada titik urutan tertentu di seluruh tubuh sehingga tungku menjadi sejuk atau terdapat juga amalan yang memperuntukkan satu jam untuk tiap kali proses bertungku. Kekerapan amalan bertungku ini dilaksanakan 1–3 kali setiap hari iaitu pada waktu pagi, tengahari atau petang bergantung kepada kemampuan pesakit. Lazimnya kebanyakan amalan bertungku dibuat pada waktu pagi selepas mandi sepanjang tempoh berpantang. Tempoh bertungku juga berbeza mengikut pengamalan iaitu sekurang-kurang tiga hari selepas melahirkan atau sehingga 44 hari.


SUMBER/ PENULIS: Pasukan Penyelidikan Pengetahuan Tradisi, FRIM (Norbaiah Mat Yaacob, Md Azharulzaman Mohamed Said & Abdul Hayat Mat Saad)


PENAFIAN: Artikel ini merupakan sebahagian daripada usaha mendokumentasikan perubatan tradisional dan penggunaan tumbuhan ubatan dalam kalangan masyarakat Melayu dan orang asli. Artikel ini bukan pengesahan tumbuhan dan cara penggunaan sebagai preskripsi untuk merawat sebarang penyakit. Tiada sebarang kajian saintifik dijalankan untuk mengesahkan keberkesanan dan keselamatannya dan juga kesahihan preskripsi yang direkodkan. Pembaca dan pengguna digalakkan untuk merujuk pegawai perubatan dan pengamal perubatan tradisional yang berdaftar sebelum menggunakan tumbuhan ubatan untuk melegakan sebarang simptom atau keadaan kesihatan. Penulis tidak bertanggungjawab atas sebarang penggunaan tumbuhan ubatan atau kesan sampingan yang memudaratkan pengguna.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

52109 Kepong, Selangor
Tel: +603-6279 7000
e-mel: [email protected]

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2022 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768