Hubungi Kami

Pemetaan Budaya

EN BM

BERTANGAS

Tangas atau bertangas bermaksud memanaskan badan, mandi atau mengasapi dengan wap supaya berkeringat atau berpeluh. Bertangas merupakan satu daripada penjagaan selepas bersalin yang bertujuan untuk menyembuhkan luka, mengecutkan alat sulit wanita dan rahim/peranakan serta menyegarkan badan. Di samping itu, bertangas juga dapat mengeluarkan lebihan darah nifas.  Bertangas lazimnya bermula pada hari ketiga berpantang sehingga selesai tempoh berpantang, sekali sehari pada waktu pagi.


Terdapat dua kaedah bertangas yang sering diamalkan oleh masyarakat Melayu iaitu tangas kering dan tangas basah. Kedua-duanya mempunyai kelebihan yang sama, hanya bergantung kepada keselesaan individu berkenaan. Alatan utama untuk bertangas ialah kerusi tangas dan bekas tangas. Kerusi tangas direka khas dengan mempunyai lubang di tengah kerusi agar wap air/asap herba dapat diserap ke seluruh badan termasuk kawasan yang terlindung. Bekas tangas pula digunakan untuk mengisi air rebusan herba (tangas basah) atau meletakkan batu sungai yang telah dipanaskan (tangas kering). Selain batu sungai, arang dan kemenyan arab juga boleh digunakan untuk tangas kering.


Bagi tangas kering, bekas tangas akan diisi dengan batu sungai yang dipanaskan dengan api. Setelah itu, ramuan herba akan ditaburkan di atas batu tersebut agar asap herba terhasil. Pesakit kemudian akan duduk di atas kerusi tangas sambil diwapkan dengan asap tersebut untuk beberapa ketika. Bagi tangas basah pula, ramuan herba direbus terlebih dahulu. Air rebusan yang masih panas diletakkan di bawah kerusi untuk bertangas.


Semasa bertangas, pesakit haruslah berada dalam keadaan seluruh anggota tubuh ditutupi dengan kain agar wap atau asap tidak bebas keluar. Bertangas boleh dilakukan selama sejam atau dua jam bergantung kepada wap yang terhasil. Selepas selesai bertangas, air rebusan tersebut boleh dijadikan sebagai mandian.


Pelbagai ramuan herba terpilih boleh digunakan untuk tujuan bertangas. Bagi tangas kering, antara bahan yang digunakan ialah halba (Trigonella foenum-graecum), majakani (Quercus infectoria), jintan hitam (Nigella sativa), inai (Lawsonia inermis) dan kunyit (Curcuma longa). Bagi tangas basah, bahan yang lazim digunakan ialah halba, daun sirih (Piper betle), lengkuas (Alpinia galangal), daun pandan (Pandanus amaryllifolius), serai wangi (Cymbopogon nardus), limau nipis (Citrus aurantifolia), asam keping (Garcinia atroviridis) dan daun inai. Kepelbagaian ramuan bertangas dapat dilihat berdasarkan komuniti masyarakat Melayu. Sebagai contoh masyarakat Melayu Melaka, sebahagian mereka menggunakan kulit kayu manis (Cinnamomum verum), halba, ketumbar (Coriandrum sativum), daun bambu (Azadirachta indica), lengkuas, daun serai wangi, jambu batu (Psidium guajava) dan mengkudu (Morinda citrifolia) sebagai ramuan untuk bertangas basah. Manakala bagi masyarakat Melayu Kedah pula, mereka hanya menggunakan daun serai wangi bersama kunyit hidup dan daun pandan sebagai ramuan bertangas basah.



SUMBER/ PENULIS: Pasukan Penyelidikan Pengetahuan Tradisi, FRIM (Siti Nur Aisyah Mohd Hashim)


PENAFIAN: Artikel ini merupakan sebahagian daripada usaha mendokumentasikan perubatan tradisional dan penggunaan tumbuhan ubatan dalam kalangan masyarakat Melayu dan orang asli. Artikel ini bukan pengesahan tumbuhan dan cara penggunaan sebagai preskripsi untuk merawat sebarang penyakit. Tiada sebarang kajian saintifik dijalankan untuk mengesahkan keberkesanan dan keselamatannya dan juga kesahihan preskripsi yang direkodkan. Pembaca dan pengguna digalakkan untuk merujuk pegawai perubatan dan pengamal perubatan tradisional yang berdaftar sebelum menggunakan tumbuhan ubatan untuk melegakan sebarang simptom atau keadaan kesihatan. Penulis tidak bertanggungjawab atas sebarang penggunaan tumbuhan ubatan atau kesan sampingan yang memudaratkan pengguna.


Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

52109 Kepong, Selangor
Tel: +603-6279 7000
e-mel: [email protected]

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2022 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768