Hubungi Kami

Pemetaan Budaya

EN BM

MEREDAKAN DEMAM

Penjagaan diri secara umumnya merujuk kepada tindakan seseorang dalam menjaga kebersihan, keterampilan dan kecantikan diri. Pelbagai sumber tumbuhan telah digunakan dalam penjagaan diri sejak dahulu lagi sama ada sebagai pencuci badan, syampu, perapi rambut mahupun pewarna untuk kecantikan diri. Bahagian tumbuhan yang digunakan juga pelbagai; terdiri daripada daun, batang, bunga, buah, akar, getah dan juga biji.

Demam ialah tindak balas normal badan apabila terdapat jangkitan kuman mahupun penyakit-penyakit lain. Ketika itu suhu badan melepasi julat normal iaitu 37.2°C. Antara jenis demam yang direkodkan dari orang asli termasuklah demam biasa, demam panas, demam kuning, demam kura-kura, demam campak, demam selesema dan lain-lain. Sementara itu, dari sudut perubatan tradisional Melayu lebih banyak jenis demam disenaraikan termasuk demam, demam panas, demam kepialu, demam kuning, demam berlat, demam dingin, demam eropah (denggi), demam kelenjaran, demam ketulangan, demam susu dan lain-lain. Untuk tujuan artikel ini fokus diberikan kepada tiga jenis sahaja iaitu demam, demam panas dan demam kuning.

Tumbuhan adalah antara bahan utama bagi merawat jenis-jenis demam dalam perubatan tradisional Melayu dan orang asli. Secara amnya bahan yang digunakan adalah secara campuran beberapa jenis tumbuhan atau secara tunggal. Manakala dari segi penggunaan pula sediaan terdapat dalam bentuk air rebusan untuk diminum, mandian atau diguna secara terus contohnya dengan meramas bahagian daun untuk dipupuk di kepala.

Penggunaan tumbuhan dalam merawat jenis demam secara tradisional sudah menjadi kelaziman bagi masyarakat orang asli dan Melayu. Sebagai contoh yang terdapat di dalam penerbitan “Meneroka Rahsia Rimba–Warisan Orang Asli Jilid 1” sebanyak 22 digunakan bagi merawat demam, 18 tumbuhan untuk merawat demam kuning dan 16 tumbuhan untuk merawat demam panas. Pendek kata, spesies tumbuhan mungkin berlainan tetapi mempunyai fungsi sama dalam mengubati pelbagai demam, sekali gus menunjukkan satu keunikan tersendiri dalam perubatan tradisional.  Dari sudut perubatan tradisional Melayu pula, contohnya seperti yang terkandung dalam penerbitan “Khazanah Perubatan Melayu: Tumbuhan Ubatan”, sebanyak 22 tumbuhan boleh digunakan bagi merawat demam, 58 tumbuhan untuk merawat demam kuning dan 42 tumbuhan untuk merawat demam panas. Kedua-dua kaedah perubatan menggunakan tumbuhan yang sama bagi penyakit berlainan memperlihatkan kekayaan ilmu masing-masing

Tumbuhan dan Contoh Rawatan:

1. Demam

Bagi mengubati demam, orang asli menggunakan durian belanda (Annona muricata) di mana daun diramas, direndam dan dipupuk ke kepala.  Manakala bagi pengamal tradisional Melayu di Kedah, sukatan atau cara penggunaan ialah dengan mengambil tiga helai daun durian belanda direndamkan di dalam air panas, kemudian air diminum apabila telah suam sekali sehari.

Bagi meredakan demam juga orang asli suku kaum Kensiu turut menggunakan sirih (Piper betle), sementara Lanoh, Jakun dan Semoq Beri pula menggunakan bunga raya (Hibiscus rosa-sinensis). Perubatan Melayu turut menggunakan bunga raya dan sirih bagi meredakan demam. Sukatan atau cara perubatan Melayu juga berbeza mengikut negeri. Contoh di Johor, daun sirih ditumbuk atau dikisar dan direbus. Air rebusan diminum dan disapu pada sendi-sendi tiga kali sehari.

2. Demam Panas
Orang asli menggunakan daun durian belanda dalam rawatan demam panas (Temuan & Mah Meri), daun, bunga dan akar bunga raya (Semelai, Kintak, Orang Kuala dan Semoq Beri) dan daun sirih (Orang Kuala) bagi merawat demam panas sama ada daun diramas, ditumbuk dan dipupuk ke kepala.

Pengamal perubatan Melayu turut menggunakan durian belanda (daun dan buah) dan bunga raya (daun, bunga dan akar) bagi mengubati demam panas. Contoh di Kelantan dan Kedah,  sebanyak 3–7 helai daun bunga raya diramas sehingga keluar lendir dan ditapis untuk dipupuk di kepala. Asam jawa (Tamarindus indica)  juga sering digunakan untuk meredakan demam panas dengan cara meramas buah asam jawa di dalam air dan dijadikan mandian. Disamping penggunaan secara tunggal, asam jawa juga dicampurkan dengan tumbuhan lain kemudian diramas atau direbus untuk dilumur ke seluruh badan atau dijadikan mandian.

3. Demam Kuning
Orang asli bagi suku kaum Jakun menggunakan daun durian belanda yang direbus untuk dibuat mandian. Manakala pengamal perubatan Melayu dari Terengganu menggunakan tujuh helai daun durian belanda direbus untuk dijadikan mandian bayi sekali sehari dan di Kedah daun serta bunga raya direbus bersama-sama inai, dan kucai. Air rebusan dijadikan mandian dua kali sehari sehingga sembuh. Dukung anak (Phyllanthus niruri), daun cermai (Phyllanthus acidus) dan daun mambu (Azadirachta indica) juga sering digunakan untuk mandian bayi bagi meredakan demam kuning.



SUMBER/ PENULIS: Pasukan Penyelidikan Pengetahuan Tradisi, FRIM (Dr Norini Haron & Norbaiah Mat Yaacob)


PENAFIAN: Artikel ini merupakan sebahagian daripada usaha mendokumentasikan perubatan tradisional dan penggunaan tumbuhan ubatan dalam kalangan masyarakat Melayu dan orang asli. Artikel ini bukan pengesahan tumbuhan dan cara penggunaan sebagai preskripsi untuk merawat sebarang penyakit. Tiada sebarang kajian saintifik dijalankan untuk mengesahkan keberkesanan dan keselamatannya dan juga kesahihan preskripsi yang direkodkan. Pembaca dan pengguna digalakkan untuk merujuk pegawai perubatan dan pengamal perubatan tradisional yang berdaftar sebelum menggunakan tumbuhan ubatan untuk melegakan sebarang simptom atau keadaan kesihatan. Penulis tidak bertanggungjawab atas sebarang penggunaan tumbuhan ubatan atau kesan sampingan yang memudaratkan pengguna.


Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

52109 Kepong, Selangor
Tel: +603-6279 7000
e-mel: [email protected]

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2022 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768