Hubungi Kami

Pemetaan Budaya

EN BM

MERAWAT BISUL

Bisul ialah sejenis jangkitan kulit yang disebabkan oleh bakteria Staphylococcus aureus yang biasa terjadi di bahagian muka, leher, ketiak, bahu, payudara, pangkal peha, sekitar kemaluan dan punggung. Bermula seperti sekelompok jerawat, kulit di kawasan jangkitan menjadi merah lalu membentuk benjolan lembut. Selepas empat hingga tujuh hari, benjolan berubah menjadi putih apabila nanah terkumpul di bawah kulit. Bisul boleh menjadi semakin besar dan menyebabkan kesakitan yang teruk. Antara faktor penyebab bisul ialah tahap kebersihan diri yang rendah, pengambilan nutrisi yang tidak seimbang, alahan, penggunaan bahan kimia yang merengsa kulit serta penyakit kencing manis.
Disamping penggunaan ubatan moden berupa antibiotik dan krim antiseptik untuk membunuh kuman (bakteria penyebab bisul), bisul juga dirawat secara tradisional menggunakan pelbagai ramuan daripada tumbuhan. Contohnya daun puding benalu (Graptophyllum pictum) atau daun piai (Acrostichum aureum) yang ditumbuk dan kemudian ditempelkan pada bahagian berbisul. Tempelan ini dibiarkan seharian dan dibasahkan dengan air apabila mengering. Campuran beras dan kunyit hidup (Curcuma longa) yang ditumbuk atau bawang putih (Allium sativum) yang ditumbuk hancur dan ditempelkan pada bahagian berbisul juga kerap diamalkan kerana bahan-bahan ini mudah diperoleh.
Terdapat juga pengamal di  Kedah yang menyarankan buah jeruju (Acanthus ebracteatus) dimakan mentah sekali sehari sehingga bisul menjadi kecut dan sembuh. Ada juga petua yang menggunakan akar pokok balung ayam (Celosia argentea) dan akar pokok kira (Trema cannabina) yang diasah dan serbuk asahan disapukan pada bisul.


SUMBER/ PENULIS: Pasukan Penyelidikan Pengetahuan Tradisi, FRIM (Rohana Sahdan & Dr Mastura Mohtar)


PENAFIAN: Artikel ini merupakan sebahagian daripada usaha mendokumentasikan perubatan tradisional dan penggunaan tumbuhan ubatan dalam kalangan masyarakat Melayu dan orang asli. Artikel ini bukan pengesahan tumbuhan dan cara penggunaan sebagai preskripsi untuk merawat sebarang penyakit. Tiada sebarang kajian saintifik dijalankan untuk mengesahkan keberkesanan dan keselamatannya dan juga kesahihan preskripsi yang direkodkan. Pembaca dan pengguna digalakkan untuk merujuk pegawai perubatan dan pengamal perubatan tradisional yang berdaftar sebelum menggunakan tumbuhan ubatan untuk melegakan sebarang simptom atau keadaan kesihatan. Penulis tidak bertanggungjawab atas sebarang penggunaan tumbuhan ubatan atau kesan sampingan yang memudaratkan pengguna.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

52109 Kepong, Selangor
Tel: +603-6279 7000
e-mel: [email protected]

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2022 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768