Hubungi Kami

Pemetaan Budaya

EN BM

MELEGAKAN SAKIT GIGI

Sakit gigi merupakan kesakitan yang dialami di sekitar gigi atau rahang. Sakit gigi lazimnya terjadi dalam kalangan mereka yang mengabaikan kesihatan mulut. Kesakitan yang teruk boleh menyebabkan seseorang itu mengalami kesukaran untuk tidur dan mengganggu aktiviti harian. Punca utama sakit gigi adalah kerosakan (karies) gigi. Selain dari kerosakan gigi, sakit gigi juga boleh disebabkan oleh penyakit gusi (penyakit periodontium), gigi sensitif, gigi retak dan sakit sendi rahang. Kebiasaannya sakit gigi dirawat melalui pemeriksaan mulut bagi menentukan punca sakit gigi kemudian diikuti dengan rawatan sewajarnya oleh doktor gigi. Selain mendapatkan rawatan melalui kaedah perubatan moden, terdapat juga rawatan melalui kaedah perubatan tradisional yang boleh diguna pakai bagi melegakan sakit gigi.
Dalam perubatan tradisional melayu, penggunaan tumbuhan dalam kaedah rawatan amat berkait rapat. Antara tumbuhan atau herba yang digunakan bagi melegakan sakit gigi termasuklah bisa sembilang (Barleria lupulina), durian belanda (Annona muricata), subang nenek (Acmella uliginosa), ara tanah (Euphorbia hirta) dan nangka (Artocarpus heterophyllus). Bahagian tumbuhan yang digunakan termasuklah daun, akar,bunga, batang, buah atau biji dan juga luahan (getah).
Kebiasaannya tumbuhan atau herba digunakan secara luaran sama ada ditampal atau diletakkan pada gigi atau pipi yang sakit. Antara cara penggunaan termasuklah bunga subang nenek, daun berserta getah ara tanah dimasukkan ke dalam gigi yang berlubang bagi melegakan sakit. Selain itu ada juga yang menggunakan kapur yang dicalit pada daun bisa sembilang dan diupar sehingga halus, kemudian ditampalkan pada gigi yang sakit. Terdapat juga penggunaan secara air kumuran, dimana daun nangka ditumbuk halus dan direbus dan air rebusan dijadikan air kumuran.


SUMBER/ PENULIS: Pasukan Penyelidikan Pengetahuan Tradisi, FRIM (Dr Fadzureena Jamaludin)


PENAFIAN: Artikel ini merupakan sebahagian daripada usaha mendokumentasikan perubatan tradisional dan penggunaan tumbuhan ubatan dalam kalangan masyarakat Melayu dan orang asli. Artikel ini bukan pengesahan tumbuhan dan cara penggunaan sebagai preskripsi untuk merawat sebarang penyakit. Tiada sebarang kajian saintifik dijalankan untuk mengesahkan keberkesanan dan keselamatannya dan juga kesahihan preskripsi yang direkodkan. Pembaca dan pengguna digalakkan untuk merujuk pegawai perubatan dan pengamal perubatan tradisional yang berdaftar sebelum menggunakan tumbuhan ubatan untuk melegakan sebarang simptom atau keadaan kesihatan. Penulis tidak bertanggungjawab atas sebarang penggunaan tumbuhan ubatan atau kesan sampingan yang memudaratkan pengguna.


Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

52109 Kepong, Selangor
Tel: +603-6279 7000
e-mel: [email protected]

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2022 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768