Hubungi Kami

Pemetaan Budaya

EN BM

GHAZAL PARTY

Ghazal Party adalah gabungan persembahan muzik, nyanyian, tarian dan lawak jenaka yang mendapat pengaruh dari Timur Tengah. Lagu-lagunya berunsurkan irama padang pasir dengan liriknya dalam bahasa Arab atau Melayu. Perkataan ‘Party’ bermaksud ‘kemeriahan persembahan ghazal’. Kesenian ini berkembang di negeri-negeri di utara Semenanjung iaitu  Pulau Pinang, Kedah dan Perak. Ghazal Party sering dipersembahkan dalam majlis-majlis perkahwinan di kampung dan dalam majlis-majlis rasmi di bandar. Dalam majlis perkahwinan persembahan bermula dari awal malam hingga ke tengah malam dan ada ketika hingga ke awal pagi. Persembahan di majlis perkahwinan adalah di dalam balai jamuan yang menghadap anjung rumah pengantin supaya keluarga pengantin dan tetamu dapat melihat persembahan ini. Terdapat lapan hingga 12 orang pemuzik, bergantung pada peralatan muzik yang ada, iaitu akordion, dua buah biola, gambus, seruling, gitar bass, drum, rebana, bongo, tamborin, dan marakas. Penyanyi-penyanyi pula mempunyai latar belakang pendidikan bahasa Arab; ada yang belajar di madrasah atau sekolah agama rakyat. Lagu-lagunya ialah lagu-lagu Arab berirama masri dan sika yang berasal dari Mesir. Pada awalnya para penari ialah lelaki yang berpakaian wanita memakai tudung, kain batik dan baju kurung berserta solekan yang nipis, kerana wanita tidak dibenarkan menjadi penari. Pada tahun 1950an muncul penari-penari dalam golongan ‘mak nyah’.  Satu lagi komponen dalam Ghazal Party ialah lawak jenaka yang berfungsi mengisi masa rehat para pemuzik dan penyanyi. Dalam sesuatu persembahan mereka berehat dua hingga tiga kali dan pada waktu inilah ruang diisi oleh pelawak yang membawakan tema berkisar hal-hal semasa.

 


Kumpulan Ghazal Party Kepala Batas

6087, Paya Keladi Hujung
13200 Kepala Batas,
Seberang Perai Utara,
Tel : 012-586 5494 (Encik Kasim bin Saidin)

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2021 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768