Hubungi Kami

Pemetaan Budaya

EN BM

PUDING RAJA PAHANG

Puding ini terkenal di negeri Pahang terutamanya di daerah Pekan kerana asal-usul Puding Raja adalah hidangan pencuci mulut di dalam istana sahaja.

Keistimewaan Puding Raja ini adalah cara hidangannya yang sama sekali berbeza dengan puding-puding lain yang kebanyakkannya bahan campuran telah sebati sebagai satu hidangan.

Puding Raja pula dihidangkan dengan bahan-bahan yang berbeza di dalam satu bekas (analoginya adalah seperti rojak) iaitu secara berlapisan dalam satu bekas, dimulakan dengan pisang lemak manis yang digoreng, kemudian jala/urat mas, ditaburkan sedikit buah prune, buah ceri, biji gajus dan akhirnya dicurahkan sos kastard.

Tumpuan bahan utama dalam puding ini adalah pisang, ia hanya menggunakan pisang jenis lemak manis sahaja. Jika menggunakan jenis pisang lain, pasti akan berlainan rasanya.

RESEPI

Bahan-bahan diperlukan:  (untuk jala mas)

• 5 biji kuning telur dibuang tali pusatnya
• 1 cawan gula*
• 2 cawan air
• Sehelai daun pandan disimpul*
• Samada acuan roti jala muncung kecil atau kelongsong daun pisang
• Penapis 

Cara menyediakannya : (untuk jala mas)

1. Masukkan bahan bertanda * dalam kuali (pan) 
2. Sambil menunggu air gula mendidih, kacau kuning telur hingga sebati dan tapis kuning telur.
3. Setelah air mendidih, keluarkan daun pandan tadi, serta masukkan telur dalam acuan roti jala atau dalam kelongsong daun pisang
4. Tinggikan sedikit acuan roti jala atau kelongsong tadi untuk mendapatkan urat yang halus
5. Tuangkan kuning telur dari tepi kuali (pan) secara bulatan. (cara tuang pun seperti mana kita membuat roti jala)
6. Jangan biarkan jala mas ni di dalam air gula terlalu lama, lepas tuang tunggu sekejap dan terus angkat samada menggunakan chopstick atau senduk dan toskan air gula tersebut. 

Bahan-Bahan : (untuk pisang goreng)
• Pisang (kalau boleh menggunakan pisang lemak manis)

Cara menyediakannya : (untuk pisang goreng)

1. Panaskan kuali dan masukkan minyak serta goreng pisang tersebut sebiji demi sebiji. (tidak perlu belah/ potong kalau pisang itu bukan pisang lemak manis dan bergantung kepada saiz agak besar jika nak memotong

2. Goreng sampai agak gelap sikit atau keperangan warnanya  

Bahan-bahan : (untuk sos kastard)

• 1 biji telur
• 400 ml susu cair
• 1 cawan air
• 1 helai daun pandan disimpul
• Sedikit esen vanilla
• 2 @ 3 sudu besar gula 

Cara menyediakannya : (untuk sos kastard)

1. Masukkan telur, susu cair, esen vanilla, kacau sebati
2. Kemudian masukkan air dan daun pandan serta gula
3. Masak dengan api sederhana besar hingga mendidih
4. Sejukkan dalam peti ais

Hiasan 

• Buah prune dibuang biji
• Buah ceri merah dan hijau dipotong 4
• Gajus di goreng sekejap

Cara menghias 

1. Mula-mula dalam bekas letakkan pisang goring dahulu
2. Letakkan di atas pisang jala mas sehingga menutup pisang  
3. Letak buah prune, ceri merah dan hijau serta gajus
4. Curah sos kastard yang sejuk tadi dan sedia untuk dihidang 





JKKN Pahang

PUDING RAJA ICAH CATERING

Alamat : No. 4, Bangunan Serambi Pekan, 26600, Pekan, Pahang

No. Tel : 019-9166675 / 012-9386667 / 019-9758444


RESTORAN AKOB PATIN HOUSE

Alamat : No. A2, Lorong Haji Abdul Rahman 1, 25000, Kuantan, Pahang

No. Tel : 019-9874463 / 013-9312709


Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2022 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768