Hubungi Kami

Pemetaan Budaya

EN BM

ADAT BERSUNAT ATAU KERJAK MENGERJAK ORANG ASLI SUKU JAHUT


Majlis bersunat bagi suku kaum Jahut diamalkan untuk kanak-kanak yang berumur di antara 12 hingga 13 tahun. Adat ini wajib dilakukan kepada kanak-kanak yang sudah cukup umur di Kampung Orang Asli Pian, Kuala Krau dan kampung-kampung berhampiran.

Masyarakat Jahut di kampung ini masih menggunakan cara tradisional semasa proses bersunat. Orang penting yang terlibat dalam majlis ini ialah : 

- Tok Mudim

- Penghulu Balai

- Tukang Gelanggang

- Tok Batin 

- Pengarah 

- Pengiring Budak

Setiap orang ini mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing agar majlis dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Tok Mudim berperanan sebagai tukang sunat, penghulu balai menjaga kawasan, tukang gelanggang ialah orang yang akan bersilat menyambut ketibaan kanak-kanak yang akan bersunat. Batin-batin dan yang lain bertindak sebagai penyambut, meraikan tetamu dan memastikan majlis berjalan lancar, meriah serta tiada masalah. Manakala Pengarah pula berperanan untuk memantau dan mengarah kepada pihak yang menyediakan makanan, memasak, menghidang dan lain-lain lagi. Pengiring pula diberi tugas membawa kanak-kanak ke tempat bersunat dengan memegang tepak sirih . 

Sebelum bersunat, kanak-kanak tersebut akan berendam di sungai pada waktu pagi sehingga tengahari. Makan dan minum akan dihantar ke sungai oleh pengiring. Selepas itu pengiring budak akan membawa kanak kanak-kanak tersebut ke balai adat untuk melihat  persembahan  silat yang dilakukan oleh tukang gelanggang. Selesai persembahan barulah kanak-kanak ini dihantar kepada Tok Mudim untuk bersunat. Kebiasaannya majlis bersunat ini dilakukan secara beramai-ramai dan ibu-bapa atau penjaga akan berkongsi kos perbelanjaan majlis bersama-sama. Majlis dibuat secara bergotong-royong dan berlangsung selama dua hingga tiga hari, bergantung kepada kemampuan tuan rumah (penganjur). 

PANTANG LARANG

Majlis bersunat boleh dilakukan secara besar-besaran dan dilakukan sehinga tiga hari dua malam. Sebelum bersunat, kanak-kanak berkenaan tidak dibenarkan keluar rumah selama 3 hari dan tidak boleh melangkah dan terpijak tahi ayam.

PERALATAN BERSUNAT

Terdapat beberapa peralatan yang digunakan semasa bersunat. Antaranya ialah pisau, tempurung dan sejenis daun khas untuk bersunat. Kanak-kanak yang bersunat perlu duduk di atas pokok padi. Selesai sahaja acara bersunat semua alatan itu akan dibuang ke dalam sungai. 

SEJARAH ASAL USUL BERSUNAT 

Menurut orang paling tua di Kampung Pian, asal usul sejarah orang Jahut melakukan majlis bersunat bermula pada generasi yang lepas di mana terdapat seorang lelaki yang berhijrah ke perkampungan suku kaum jahut kerana malu dipanggil kulop oleh orang kampung asalnya kerana tidak boleh bersunat. Lelaki tersebut telah menuntut ilmu daripada isteri Batin Jahut.  Isteri Batin digelar batin perempuan kerana penduduk disitu akan merujuk kepadanya kerana beliau di anggap seorang yang cerdik dan berilmu tinggi. 

Setelah beberapa tahun menuntut ilmu, akhirnya lelaki itu berkahwin dengan anak batin bekenaan. Hasil perkahwinan itu dia dianugerahkan seorang cahaya mata lelaki. Lelaki itu meminta izin bapa mertuanya untuk mengadakan majlis bersunat kerana dalam kaumnya, anak lelaki diwajibkan bersunat. Pada peringkat awalnya bapa mertua beliau tidak bersetuju kerana bimbang berlaku kematian akibat bersunat. Setelah dipujuk dan diterangkan kebaikan bersunat barulah bapa mertuanya bersetuju untuk mengadakan majlis tersebut. Bermula pada kisah itu lah masyarakat Jahut terus mengamalkan dan mengekalkan adat majlis bersunat untuk kanak-kanak lelaki mereka. 

Rujukan : 

Yang Beradat Batin Mohamad Bin Kuang 

Batin Kampung Orang Asli Pian, Kuala Krau


JKKN Pahang

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Pahang

Kompleks JKKN Pahang

Lot 57100, Jalan Teluk Sisek,

25000, Kuantan,

PAHANG DARUL MAKMUR


Telefon        :  09-517 8466

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2022 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768