Hubungi Kami

Pemetaan Budaya

EN BM

PERAYAAN BHOGI PARACHU

Perayaan yang disambut dalam kalangan masyarakat etnik Chetty bagi memperingati nenek moyang yang telah meninggal dunia. Perayaan ini jatuh pada hari terakhir bulan Maargali dan disambut sehari sebelum Perayaan Ponggal. Bulan ini berada dalam lingkungan pertengahan bulan Disember hingga pertengahan Januari dalam kalendar Gregorian. Perayaan Bhogi Parachu ini biasa disambut bersama dengan ahli keluarga dan sanak saudara. Antara upacara yang akan diadakan menjelang perayaan ini adalah Naik Bukit. Dalam upacara ini ahli keluarga dan sanak saudara akan menziarahi kubur nenek moyang, membersihkan kubur, menghidangkan makanan kepada nenek moyang mereka serta melakukan upacara sembahyang, biasanya diadakan pada sebelah pagi beberapa hari sebelum perayaan ini disambut. 

Upacara Bhogi Parchu adalah salah satu pengisian daripada Perayaan Ponggal. Dalam upacara ini makanan basah dan kering akan dihidangkan kepada nenek moyang yang telah meninggal dunia. Persiapan upacara ini dimulakan dengan menghidangkan makanan basah dan  beralaskan daun pisang. Makanan ini terdiri daripada makanan kegemaran nenek moyang ini antara yang biasa dihidangkan adalah nasi lemak, lauk-lauk seperti kari ayam, sayuran, ayam goreng dan lain-lain. Set makanan yang disediakan adalah dalam bentuk yang ganjil seperti 9, 7 atau 5 set. Kemudian turut dihidangkan makanan kering seperti kuih-kuih seperti dodol, kuih goyang, kuih bangkit dan lain-lain. 

Selain makanan turut dihidangkan dan dipamerkan adalah minuman, pakaian, peralatan yang menjadi kegemaran nenek moyang. Setelah itu, upacara memanggil atau menyeru nenek moyang yang berbentuk ritual pula diadakan di hadapan rumah. Upacara Bhogi Parchu ini berlangsung untuk tempoh tertentu dalam lingkungan 1-2 jam sebagai simbolik kepada roh nenek moyang yang telah pulang untuk menikmati apa yang mereka gemari sebelum ini seperti makan dan minum, dan aktiviti lain. 

Untuk mengetahui upacara ini boleh ditamatkan atau tidak adalah dengan membaling dua keping wang syiling sekiranya salah satu wang syiling tersebut terlentang dan terlangkup maka upacara ini boleh ditamatkan sekiranya sebaliknya upacara ini perlu diteruskan untuk tempoh 10-15 minit lagi kerana dipercayai roh-roh ini masih belum mahu pulang. Bagi menutup upacara ini buah kelapa akan ditebuk untuk mendapatkan airnya kemudian airnya akan direnjis-renjis kepada makanan tersebut. Setiap set makanan yang dihidangkan itu akan ditarik ke tepi dan diperasap kemenyan sebagai tanda tamatlah upacara ini dan roh nenek moyang akan kembali ke tempat asal mereka. 


JKKN Melaka

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Melaka

Kompleks JKKN Melaka

Hang Tuah Jaya, Lebuh Ayer Keroh, 

75450 MELAKA.


Telefon       :  06-233 1787 /

                       06-233 1790

Artikel Berkaitan

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2022 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768