Contact Us

Pemetaan Budaya

EN BM

PERUBATAN TRADISIONAL ORANG ASLI: PRINSIP ASAS

Kepercayaan animisme dalam kalangan masyarakat orang asli bukanlah sesuatu yang asing sebelum menganut agama lain. Mereka percaya bahawa setiap yang ada di persekitaran mereka termasuklah sumber hutan, pokok mahupun batuan mempunyai semangat atau roh yang perlu dihormati. Pergantungan mereka terhadap sumber alam dalam meneruskan kelangsungan hidup terutamanya dalam mendapatkan sumber makanan, ubatan dan sumber ekonomi menyebabkan amalan dan kepercayaan ini terus diwarisi. Malah, kehidupan seharian mereka bermula daripada proses kelahiran, perkahwinan sehingga kematian turut dipengaruhi oleh sistem kepercayaan, adat resam dan pantang larang.

Di Semenanjung Malaysia, orang asli terdiri daripada 18 suku kaum yang dikelompokkan dalam tiga kumpulan iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Proto. Setiap ahli dalam kumpulan ini mempunyai ciri-ciri fizikal yang hampir sama, namun mempunyai bahasa, kepercayaan, peraturan serta adat resam tersendiri yang diturunkan sejak bergenerasi.

Tidak dapat dinafikan wujudnya unsur-unsur mistik yang dikaitkan dengan roh atau semangat yang menyebabkan sesuatu penyakit atau bencana itu terjadi. Antaranya berpunca daripada pelanggaran pantang larang yang ditetapkan. Mereka turut percaya setiap perkara baik atau buruk yang dilakukan akan memberi kesan. Justeru itu, peranan pengamal perubatan orang asli seperti puyang, tok halaq, bomoh, pawang, batin serta bidan masih penting dalam kalangan mereka untuk mengubati pelbagai penyakit serta meneruskan adat dan kepercayaan mereka. Pelbagai ritual seperti sewang (suku kaum Semai, Temiar, Bateq), berjampi, jamuan, bebelian (Semelai), genggulang (Mah Meri, Semai), berjerom (Jakun) dijalankan dalam proses mengubati pesakit, mengelakkan musibah serta memohon kesejahteraan penduduk. Malah, penggunaan tangkal semasa proses perawatan dengan menggantungkan tumbuhan di pintu rumah bagi mengelakkan gangguan makhluk jahat turut dijalankan.

Sebagai masyarakat pemburu dan pengumpul (hunting and gathering), kebanyakan orang asli mempunyai kepakaran dan pengetahuan asas dalam pengecaman tumbuhan sebagai ubatan, makanan atau beracun. Malah, pengetahuan dan penggunaan tumbuhan ubatan yang terdapat di persekitaran mereka dalam merawat penyakit dan penjagaan kesihatan terus diamalkan. Selain penggunaan tumbuhan, jampi turut dibaca semasa perawatan bagi menghentikan pendarahan ringan atau gigitan/ sengatan bisa binatang. Bagi penjagaan kesihatan pula, amalan penggunaan akar kayu, masih terus diamalkan. Bergantung kepada pengetahuan seseorang individu, pelbagai campuran tumbuhan ubatan digunakan sebagai minuman harian, dijadikan mandian, malah dimakan bertujuan mengekalkan kesihatan.


SUMBER/ PENULIS: Pasukan Penyelidikan Pengetahuan Tradisi, FRIM (Intan Nurulhani Baharuddin)


PENAFIAN: Artikel ini merupakan sebahagian daripada usaha mendokumentasikan perubatan tradisional dan penggunaan tumbuhan ubatan dalam kalangan masyarakat Melayu dan orang asli. Artikel ini bukan pengesahan tumbuhan dan cara penggunaan sebagai preskripsi untuk merawat sebarang penyakit. Tiada sebarang kajian saintifik dijalankan untuk mengesahkan keberkesanan dan keselamatannya dan juga kesahihan preskripsi yang direkodkan. Pembaca dan pengguna digalakkan untuk merujuk pegawai perubatan dan pengamal perubatan tradisional yang berdaftar sebelum menggunakan tumbuhan ubatan untuk melegakan sebarang simptom atau keadaan kesihatan. Penulis tidak bertanggungjawab atas sebarang penggunaan tumbuhan ubatan atau kesan sampingan yang memudaratkan pengguna.



Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

52109 Kepong, Selangor
Tel: +603-6279 7000
e-mel: [email protected]
 


Disclaimer:

The Government of Malaysia and National Department for Culture and Arts shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website. Copyright © 2022 National Department For Culture And Arts. Best viewed using IE 8.0 or later & Firefox 3.0 or later with minimum resolution of 1024 x 768