Contact Us

Pemetaan Budaya

EN BM

RAWATAN SAKIT TUAN

Sejak dahulu lagi, kaum lelaki diketahui kurang terbuka dalam berkongsi dan membincangkan masalah mereka lebih-lebih lagi masalah yang melibatkan perihal kelamin dan kelakian diri. Perkara ini menyebabkan ilmu penyakit lelaki dan rawatannya kurang diketahui berbanding sakit puan.   

Terdapat dua masalah dominan dalam sakit tuan yang sering disebut iaitu mati pucuk dan pancutan awal atau dikenali juga sebagai ejakulasi pra-matang. Mati pucuk secara ringkasnya menurut perubatan moden melibatkan masalah ketegangan zakar, manakala ejakulasi pra-matang pula melibatkan ketidakupayaan dalam menangguhkan pancutan. Kedua-dua masalah ini dalam amalan perubatan tradisional Melayu dirujuk sebagai lemah syahwat. Menurut pengamal Melayu, lemah syahwat boleh terjadi akibat halangan pengaliran darah ke zakar, kerosakan otot dan urat saraf yang berkaitan dengannya.

Kaedah urutan yang sering disebut sebagai urut batin merupakan rawatan utama dalam memulihkan lemah syahwat. Kaedah terbaik ketika mengurut batin ialah dengan mengurut urat saraf berkaitan untuk melancarkan pengaliran darah ke zakar. Terdapat enam bahagian badan yang diurut iaitu bahagian ari-ari, tapak kaki kiri dan kanan, celah-celah jari kaki kiri dan kanan, jantung betis, urat sebelah dalam peha, dan bahagian kemaluan lelaki. Ketika mengurut, terdapat juga aturan bacaan doa pemulih urat saraf dan zikir pemulih tenaga batin.

Urut batin juga selalunya akan menggunakan minyak yang disediakan khusus bagi tujuan tersebut. Contoh ramuan minyak yang digunakan ialah minyak lenga (Sesamum indicum) yang dipanaskan di atas api sederhana dan dicampurkan dengan tiga sudu biji lobak (Daucus carota) yang dilumatkan. Selain itu, minyak urut juga boleh disediakan menggunakan akar gaharu (Aquilaria malaccensis) dan akar ketapang (Terminalia catappa) yang dimasak dengan minyak kelapa.

Selain masalah kefungsian anggota kelamin, kaum lelaki juga menghadapi masalah lemah tenaga batin, iaitu merujuk kepada kurang keupayaan dan kekuatan ketika berjimak. Perkara ini turut diberi penekanan dalam kesihatan lelaki kerana dalam hal melibatkan nafkah batin, seorang suami perlu memberi suatu kepuasan kepada isteri satu kali dalam setiap senggama.

Bagi meningkatkan dan memulihkan tenaga batin, terdapat banyak ramuan tradisional daripada pelbagai jenis tumbuhan ubatan yang boleh diamalkan. Contohnya, akar panah arjuna (Tectaria singaporiana) dibersihkan, dicincang halus, dikeringkan, dan direbus sehingga mendidih. Air rebusan diminum dua kali sehari selama seminggu. Terdapat juga sediaan tradisional yang menggunakan lebih daripada satu ramuan seperti akar tongkat ali (Eurycoma longifolia) direbus bersama ubi rancang besi (Smilax calophylla), ubi rancang tembaga (Smilax sp.), ubi mentua binasa (Alternanthera brasiliana) dan pokok kacip fatimah (Marantodes pumilum). Air rebusan diminum tiga kali sehari selama seminggu.

Di samping itu, ada juga petua pemakanan bagi kesihatan anggota kelamin lelaki seperti memakan telur ayam rebus untuk menguatkan zakar dan biji rambutan untuk memekatkan air mani. Manakala, meminum air rebusan biji selasih pula untuk menambahkan kuantiti air mani. Sehingga hari ini, petua pemakanan dan kaedah urut batin masih menjadi pilihan segelintir lelaki Melayu dalam aspek penjagaan kesihatan mereka.


SUMBER/ PENULIS: Pasukan Penyelidikan Pengetahuan Tradisi, FRIM (Firdaus Kamarulzaman)


PENAFIAN: Artikel ini merupakan sebahagian daripada usaha mendokumentasikan perubatan tradisional dan penggunaan tumbuhan ubatan dalam kalangan masyarakat Melayu dan orang asli. Artikel ini bukan pengesahan tumbuhan dan cara penggunaan sebagai preskripsi untuk merawat sebarang penyakit. Tiada sebarang kajian saintifik dijalankan untuk mengesahkan keberkesanan dan keselamatannya dan juga kesahihan preskripsi yang direkodkan. Pembaca dan pengguna digalakkan untuk merujuk pegawai perubatan dan pengamal perubatan tradisional yang berdaftar sebelum menggunakan tumbuhan ubatan untuk melegakan sebarang simptom atau keadaan kesihatan. Penulis tidak bertanggungjawab atas sebarang penggunaan tumbuhan ubatan atau kesan sampingan yang memudaratkan pengguna.



Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

52109 Kepong, Selangor
Tel: +603-6279 7000
e-mel: [email protected]

Disclaimer:

The Government of Malaysia and National Department for Culture and Arts shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website. Copyright © 2022 National Department For Culture And Arts. Best viewed using IE 8.0 or later & Firefox 3.0 or later with minimum resolution of 1024 x 768