Contact Us

Pemetaan Budaya

EN BM

UBAT PERIUK

Ubat periuk ialah ramuan herba dan akar kayu yang direbus untuk diminum terutamanya bagi ibu selepas bersalin. Amalan meminum air rebusan ini terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu bertujuan untuk mengembalikan tenaga, melancarkan peredaran darah, mengecutkan rahim, menyembuhkan luka dalaman dan menyegarkan badan ibu selepas bersalin. Ubat periuk juga biasa digunakan untuk tujuan kesihatan umum seperti penjagaan kesihatan dalaman, merawat masalah keputihan, melegakan sakit urat, menambahkan darah, mengawal tekanan darah, membuang angin dalam badan, melawaskan kencing dan sebagainya. 

Pada asasnya, bahan mentah ubat periuk (herba dan akar kayu) perlu dijemur dibawah matahari sehingga kering sebelum diracik halus atau dipotong menjadi kepingan kecil. Konsep jemur sehingga kering bertujuan untuk menghilangkan air atau getah yang terdapat pada akar kayu dan herba tersebut. Selain itu, ramuan yang telah kering ini lebih mudah disimpan pada suhu bilik dalam tempoh yang lama sebelum ia digunakan.

Antara spesies pokok yang sering digunakan sebagai ubat periuk merangkumi tongkat ali (Eurycoma longifolia), kacip fatimah (Labisia pumila), tunjuk langit (Swietenia macrophylla), lemba batu (Staurogyne merguensis), halban (Vitex pinnata), gajah tarik (Strychnos axillaris), teja lawang (Cinnamomum iners), tongkat ali hitam (Polyalthia bullata), tengkuk biawak (Anodendron candolleanum), ubi jaga (Smilax myosotiflora), sekunyit (Coscinium fenestratum), payung ali (Diospyros buxifolia), tongkat haji samad/ setulang (Prismatomeris tetrandra), rempah gunung/ kulit lawang kecil (Cinnamomum javanicum) dan sebagainya. Campuran pelbagai herba ini bertujuan untuk mengimbangi rasa dan juga khasiatnya.

Lazimnya ubat periuk ini direbus menggunakan periuk tanah seperti periuk belanga atau buyung. Namun kini, periuk yang diperbuat daripada besi sering digunakan kerana mudah diperoleh. Masyarakat Melayu terutamanya pengamal tradisional lebih mengutamakan penggunaan periuk tanah berbanding periuk yang diperbuat daripada besi kerana ia dikatakan mampu memberi kesan yang baik kepada pengguna.

Penyediaannya pula, kuantiti air rebusan dan tempoh merebus juga memainkan peranan penting dimana sesetengah pengamal menyarankan untuk merebus akar kayu sehingga mencapai kuantiti yang dikehendaki sebagai contoh campuran akar kayu direbus di dalam tiga gelas air dan dibiar sehingga menjadi segelas air atau direbus sehingga mendidih sahaja. Begitu juga dengan cara penggunaan iaitu diminum berapa kali sehari, pada waktu tertentu (pagi, tengahari, malam) dan sebelum makan atau selepas makan.

Dari aspek sukatan ramuan, ia juga bergantung kepada saranan pengamal perubatan tradisional sebagai contoh segenggam campuran akar kayu, tiga keping/racik akar, seinci akar dan sebagainya. Sukatan yang disarankan ini perlu dipatuhi bagi mengelakkan penggunaan yang berlebihan seterusnya mengelakkan daripada kesan sampingan kepada pengguna.  

Terdapat beberapa petua semasa pengambilan ubat periuk bagi ibu selepas bersalin antaranya hendaklah meminum air rebusan selepas hari ketiga bersalin dan diamalkan sehingga habis tempoh berpantang atau sehingga luka dalaman sembuh. Selain itu, kebanyakan pengamal tidak menggalakkan pengguna mengambil ubat periuk bersekali dengan ubatan moden sebab tidak diketahui kesan interaksinya.


SUMBER/ PENULIS: Pasukan Penyelidikan Pengetahuan Tradisi, FRIM (Madihah Muhammad Nawi)


PENAFIAN: Artikel ini merupakan sebahagian daripada usaha mendokumentasikan perubatan tradisional dan penggunaan tumbuhan ubatan dalam kalangan masyarakat Melayu dan orang asli. Artikel ini bukan pengesahan tumbuhan dan cara penggunaan sebagai preskripsi untuk merawat sebarang penyakit. Tiada sebarang kajian saintifik dijalankan untuk mengesahkan keberkesanan dan keselamatannya dan juga kesahihan preskripsi yang direkodkan. Pembaca dan pengguna digalakkan untuk merujuk pegawai perubatan dan pengamal perubatan tradisional yang berdaftar sebelum menggunakan tumbuhan ubatan untuk melegakan sebarang simptom atau keadaan kesihatan. Penulis tidak bertanggungjawab atas sebarang penggunaan tumbuhan ubatan atau kesan sampingan yang memudaratkan pengguna.



Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)
52109 Kepong, Selangor
Tel: +603-6279 7000
e-mel: [email protected]





Disclaimer:

The Government of Malaysia and National Department for Culture and Arts shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website. Copyright © 2022 National Department For Culture And Arts. Best viewed using IE 8.0 or later & Firefox 3.0 or later with minimum resolution of 1024 x 768