Contact Us

Pemetaan Budaya

EN BM

PILIS

Pilis adalah sediaan yang dipalitkan atau disapukan pada dahi atau pelipisan. Pemakaian pilis merupakan salah satu rawatan tradisional Melayu dan orang asli yang lazimnya diamalkan oleh wanita selepas bersalin dan semasa berpantang. Penggunaan pilis bertujuan untuk mengelakkan atau merawat rasa pening, kabur mata, rasa tidak selesa pada mata dan pitam untuk wanita selepas bersalin. Selain itu, terdapat juga manuskrip perubatan Melayu yang mencatatkan bahawa pilis digunakan untuk merawat penyakit meroyan angin. Pemakaian pilis diamalkan dua hingga tiga kali sehari sepanjang tempoh berpantang iaitu selama 40 hingga 44 hari.

Bagi masyarakat Melayu terdapat pelbagai variasi campuran dan ramuan penyediaan pilis bergantung pada lokaliti dan pengamal perubatan tradisional. Secara amnya kebanyakan ramuan pilis mengandungi campuran 3–9 spesies tumbuhan dan rempah dengan sukatan tertentu.  Contoh tumbuhan yang sering digunakan ialah lengkuas (Alpinia galanga), cekur (Kaempferia galanga), ibu kunyit (Curcuma longa), bonglai (Zingiber cassumunar), jintan putih (Cuminum cyminum), cengkih (Syzygium aromaticum), bunga lawang (Illicium verum), kayu manis (Cinnamomum verum), lada ekor (Piper cubeba) dan cabai pintal (Helicteres isora).

Ramuan pilis dikeringkan sama ada disangai tanpa minyak atau dijemur, kemudiannya ditumbuk atau dikisar sehingga menjadi serbuk, dan diayak untuk mendapatkan campuran yang halus. Kadangkala, ragi atau tepung beras turut dijadikan ramuan pilis. Lazimnya kaedah pemakaian pilis adalah dengan mencampurkan serbuk ramuan dengan sedikit air dan disapukan di seluruh dahi.

Bagi suku kaum orang asli Seletar pula sediaan pilis hanya menggunakan rizom dan daun kunyit (Curcuma longa) yang diasah pada belakang lesung batu dan disapukan di bahagian dahi.


SUMBER/ PENULIS: Pasukan Penyelidikan Pengetahuan Tradisi, FRIM (Norbaiah Mat Yaacob, Md Azharulzaman Mohamed Said & Abdul Hayat Mat Saad)


PENAFIAN: Artikel ini merupakan sebahagian daripada usaha mendokumentasikan perubatan tradisional dan penggunaan tumbuhan ubatan dalam kalangan masyarakat Melayu dan orang asli. Artikel ini bukan pengesahan tumbuhan dan cara penggunaan sebagai preskripsi untuk merawat sebarang penyakit. Tiada sebarang kajian saintifik dijalankan untuk mengesahkan keberkesanan dan keselamatannya dan juga kesahihan preskripsi yang direkodkan. Pembaca dan pengguna digalakkan untuk merujuk pegawai perubatan dan pengamal perubatan tradisional yang berdaftar sebelum menggunakan tumbuhan ubatan untuk melegakan sebarang simptom atau keadaan kesihatan. Penulis tidak bertanggungjawab atas sebarang penggunaan tumbuhan ubatan atau kesan sampingan yang memudaratkan pengguna.


Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

52109 Kepong, Selangor
Tel: +603-6279 7000
e-mel: [email protected]

Disclaimer:

The Government of Malaysia and National Department for Culture and Arts shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website. Copyright © 2022 National Department For Culture And Arts. Best viewed using IE 8.0 or later & Firefox 3.0 or later with minimum resolution of 1024 x 768