Contact Us

Pemetaan Budaya

EN BM

TAPEL/UBAT BARUT

Tapel atau ubat barut ialah sapuan pada perut bagi penjagaan ibu selepas bersalin. Pemakaian tapel atau ubat barut bertujuan untuk mengempiskan semula perut, menegangkan kulit perut, mempercepatkan pengecutan rahim/peranakan serta melancarkan peredaran darah.

Lazimnya tapel atau ubat barut dicampurkan dengan sedikit air atau perahan air limau nipis dan disapukan di bahagian atas ari-ari dan perut sebelum penggunaan bengkung. Namun, terdapat juga pengamal meletakkan serbuk tapel atau ubat barut di atas bengkung dan dibalut pada perut. Ramuan tapel atau ubat barut memberi kesan panas kepada perut dan mengoptimumkan kesan pemakaian bengkung. Pemakaian tapel dan bengkung diamalkan setiap hari semasa tempoh berpantang selama 44 hari.

Terdapat pelbagai ramuan tapel atau ubat barut yang digunakan oleh pengamal dan ramuan paling asas ialah campuran perahan limau nipis (Citrus aurantiifolia) dan kapur. Sesetengah ibu selepas bersalin mempunyai kesan sampingan akibat daripada pemakaian ramuan air perahan limau yang dicampur dengan kapur antaranya kulit perut menjadi kering, melepuh atau melecet dan boleh menyebabkan kesan seperti parut. Jadi, ramuan lain yang digunakan untuk mengimbangi kesan samping tersebut dan meningkatkan keberkesanan antaranya ialah asam jawa (Tamarindus indica), halia bara (Zingiber officinale), kunyit (Curcuma longa), jerangau (Acorus calamus), bonglai (Zingiber montanum) dan bawang putih (Allium sativum).

Kebanyakan ramuan tapel atau ubat barut ini merupakan campuran herba sama ada dalam bentuk segar atau kering termasuklah rempah ratus. Antara rempah ratus yang digunakan ialah halba (Trigonella foenum-graecum), kayu manis (Cinnamomum verum) dan lada hitam (Piper nigrum). Bahan-bahan lain yang sering juga dijadikan ramuan tapel atau ubat barut ialah garam, jadam, minyak kelapa, beras dan beras pulut. Bahan ramuan tapel atau ubat barut kebiasaannya disangai dan dikisar halus sebelum digunakan.


SUMBER/ PENULIS: Pasukan Penyelidikan Pengetahuan Tradisi, FRIM (Dr Nik Musa’adah Mustapha)


PENAFIAN: Artikel ini merupakan sebahagian daripada usaha mendokumentasikan perubatan tradisional dan penggunaan tumbuhan ubatan dalam kalangan masyarakat Melayu dan orang asli. Artikel ini bukan pengesahan tumbuhan dan cara penggunaan sebagai preskripsi untuk merawat sebarang penyakit. Tiada sebarang kajian saintifik dijalankan untuk mengesahkan keberkesanan dan keselamatannya dan juga kesahihan preskripsi yang direkodkan. Pembaca dan pengguna digalakkan untuk merujuk pegawai perubatan dan pengamal perubatan tradisional yang berdaftar sebelum menggunakan tumbuhan ubatan untuk melegakan sebarang simptom atau keadaan kesihatan. Penulis tidak bertanggungjawab atas sebarang penggunaan tumbuhan ubatan atau kesan sampingan yang memudaratkan pengguna.


Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

52109 Kepong, Selangor
Tel: +603-6279 7000
e-mel: [email protected]

Disclaimer:

The Government of Malaysia and National Department for Culture and Arts shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website. Copyright © 2022 National Department For Culture And Arts. Best viewed using IE 8.0 or later & Firefox 3.0 or later with minimum resolution of 1024 x 768