Contact Us

Pemetaan Budaya

EN BM

PENJAGAAN DIRI

Penjagaan diri secara umumnya merujuk kepada tindakan seseorang dalam menjaga kebersihan, keterampilan dan kecantikan diri. Pelbagai sumber tumbuhan telah digunakan dalam penjagaan diri sejak dahulu lagi sama ada sebagai pencuci badan, syampu, perapi rambut mahupun pewarna untuk kecantikan diri. Bahagian tumbuhan yang digunakan juga pelbagai; terdiri daripada daun, batang, bunga, buah, akar, getah dan juga biji.

Penjagaan rambut
Rambut yang bersih, kemas dan rapi memberi tanggapan penampilan yang baik. Penjagaan rambut dalam kalangan masyarakat orang asli dan Melayu, bermula dengan aktiviti mencuci rambut, melembut dan merapikan rambut; menangani masalah rambut gugur, kelemumur dan kutu; melebat, menghitamkan rambut serta melambatkan pertumbuhan uban.

Secara tradisi, rambut dicuci dan dirapi dengan menggunakan lendir dan air ramasan daun bunga raya (Hibiscus rosa-sinensis). Amalan ini juga membantu menangani rambut gugur. Manakala, amalan melumur hampas kelapa (Cocos nucifera) pada rambut, kemudian dibiarkan 30 minit dipercayai dapat melebat dan menghitamkan rambut. Daun inai (Lawsonia inermis) yang dikisar pula dilumurkan pada rambut sebagai pewarna rambut.

Selain daripada itu, masyarakat Melayu menggunakan buih pucuk jambu (Psidium guajava) yang diupar bersama dengan sedikit air untuk merawat masalah rambut dan kulit kepala yang gatal. Sediaan daun limau purut (Citrus hystrix) dikisar bersama dengan santan, putih telur dan ketumbar hitam diperap pada kepala selama sejam sebagai tonik rambut. Petua menyapu air ramasan daun durian belanda (Annona muricata) pada kepala sebelum tidur pula dapat menghilangkan kutu rambut.

Masyarakat orang asli mempunyai perhiasan kepala  yang dikenali sebagai tempok (anyaman daun atau kulit pokok). Tempok dipakai semasa hari keraian dan upacara sewang. Sesetengah corak tempok adalah unik kepada suku kaum tertentu dan terdapat juga jenis tempok khas yang dipakai oleh batin dan juga pawang/puyang sahaja. Bagi kaum wanita pula, perhiasan rambut seperti sanggul [anyaman daun nipah (Nypa fruticans)] cucuk sanggul, sikat (buluh) atau daun dan bunga-bungaan sering dipakai untuk menambah kecantikan dan penampilan individu.

Penjagaan wajah
Masyarakat orang asli melumurkan rizom kunyit (Curcuma longa) yang dilumatkan pada muka untuk melicinkan kulit muka manakala sapuan lendir dan isi daun lidah buaya (Aloe vera) diamalkan bagi menangani masalah jerawat dan kulit bermasalah. Masyarakat Melayu juga menjaga kecantikan dengan menyapu asam jawa (Tamarindus indica) yang dikisar bersama-sama tepung pulut dicampurkan dengan sedikit air pada muka. Bagi melicinkan kulit muka pula, rizom temulawak (Curcuma zanthorrhiza) yang dilumatkan turut disapu pada muka.

Bagi melebatkan dan menghitamkan bulu kening, isi kelapa dibakar dahulu menjadi arang sebelum disapukan pada kening. Kesegaran mata turut dijaga dengan menyelamkan muka lalu mencelikkan mata dalam besen air dengan ramasan daun sirih (Piper betle); masyarakat Melayu negeri Pahang lazimnya akan mencampurkan secubit jintan hitam (Nigella sativa) ke dalam air tersebut. Buah senduduk bulu (Clidemia hirta) yang matang pula disapukan pada bibir yang merekah. Amalan pemakanan ulaman seperti daun pegaga (Centella asiatica) turut membantu mengekalkan keremajaan.

Semasa upacara sewang atau hari kebesaran, masyarakat orang asli gemar menambah corengan pada muka menggunakan getah atau sap daripada pokok-pokok hutan yang berwarna merah, putih atau hitam. Calitan berbentuk garisan lurus atau bengkang-bengkok dan titik lazimnya ditambah pada dahi dan pipi.

Penjagaan badan
Kebersihan badan pula dijaga dengan menggunakan air perahan buah limau purut/limau nipis (Citrus aurantiifolia) atau ramasan daun limau nipis untuk mandian dan menghilangkan bau badan. Air rebusan daun capa (Blumea balsamifera) pula digunakan sebagai mandian bayi bagi menghilangkan bau badan bayi. Rendaman santan kelapa, ditinggalkan semalaman sebelum disapu pada badan dan dibiarkan kering selama sejam sebelum mandian untuk membersihkan daki. Masyarakat Melayu turut mempunyai ramuan lulur badan menggunakan sediaan bahan kisar daun cekur (Kaempferia galanga), daun pudina (Mentha sp.), asam keping (Garcinia atroviridis) dan tepung beras yang digunakan untuk melulur seluruh badan untuk tiga hari berturut-turut.

Selain badan, kebersihan vagina dijaga dengan menggunakan air rebusan pegaga atau daun sirih untuk mencuci vagina. Petua ini berupaya mengurangkan masalah keputihan. Penjagaan masalah rekahan pada tumit turut dilakukan dengan merendam kaki di dalam air rendaman daun dan akar senduduk (Melastoma malabathricum).

Sebagai pewarna kuku, daun inai (Lawsonia inermis) dilumatkan dan dicampurkan dengan air perahan buah limau (Citrus sp.) sebelum ditempek pada kuku dan dibalut. Amalan penggunaan inai popular dalam kalangan masyarakat Melayu dan orang asli semasa upacara perkahwinan atau hari kebesaran.


SUMBER/ PENULIS: Pasukan Penyelidikan Pengetahuan Tradisi, FRIM (Tan Ai Lee)


PENAFIAN: Artikel ini merupakan sebahagian daripada usaha mendokumentasikan perubatan tradisional dan penggunaan tumbuhan ubatan dalam kalangan masyarakat Melayu dan orang asli. Artikel ini bukan pengesahan tumbuhan dan cara penggunaan sebagai preskripsi untuk merawat sebarang penyakit. Tiada sebarang kajian saintifik dijalankan untuk mengesahkan keberkesanan dan keselamatannya dan juga kesahihan preskripsi yang direkodkan. Pembaca dan pengguna digalakkan untuk merujuk pegawai perubatan dan pengamal perubatan tradisional yang berdaftar sebelum menggunakan tumbuhan ubatan untuk melegakan sebarang simptom atau keadaan kesihatan. Penulis tidak bertanggungjawab atas sebarang penggunaan tumbuhan ubatan atau kesan sampingan yang memudaratkan pengguna.


Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

52109 Kepong, Selangor
Tel: +603-6279 7000
e-mel: [email protected]

Disclaimer:

The Government of Malaysia and National Department for Culture and Arts shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website. Copyright © 2022 National Department For Culture And Arts. Best viewed using IE 8.0 or later & Firefox 3.0 or later with minimum resolution of 1024 x 768