Contact Us

Pemetaan Budaya

EN BM

RAWATAN KAYAP

Kayap ialah sejenis jangkitan virus Varicella zoster yang diindikasikan dengan tompokan merah berair pada kulit dan kegatalan melampau. Terdapat pelbagai jenis kayap yang direkodkan dalam manuskrip Melayu lama seperti kayap angin, kayap air, kayap sepupu, kayap api, kayap badak, kayap barah, kayap pe’pa, kayap tunggal, kayap ular dan lain-lain. 

Pelbagai bahagian tumbuhan seperti daun, bunga, batang, rizom dan akar sama ada secara tunggal atau campuran selain beberapa bahan lain seperti air, garam dan bedak sejuk merupakan sebahagian ramuan yang disediakan untuk perawatan secara tradisional. Bahan-bahan ramuan lazimnya ditumbuk, digiling, dihiris halus malah dikunyah lumat sesuai dengan kaedah aplikasi.

Hasil kunyahan daun ketum (Mitragyna speciosa) dan daun setoi atau sentul (Sandoricum koetjape) oleh pengamal di Kedah, campuran daun sirih (Piper betel) bersama putik nangka (Artocarpus heterophyllus) oleh pengamal di Johor atau buah pinang (Areca catechu) yang matang oleh pengamal di Kelantan akan disembur pada kawasan berkayap.      

Ramuan berupa pes (bahan atau campuran bahan yang dilumatkan) pula akan disapu pada kawasan berkayap. Wujud pelbagai sediaan bagi aplikasi ini antaranya, sediaan daripada tiga helai daun setawar kampung (Bryophyllum pinnatum) bersama bedak sejuk di Perak, gilingan rizom bonglai (Zingiber montanum) dengan jerangau (Acorus calamus) di Johor, daun kapal terbang (Chromolaena odorata) dengan secalit kapur di Selangor, akar ara lempung (Ficus hispida) di Kelantan dan campuran rizom ubi garut (Maranta arundinacea) dengan beras kunyit di Negeri Sembilan.    

Tumbuhan yang dimanfaatkan dalam bentuk sediaan untuk dipupuk atau ditempelkan pada bahagian berkayap termasuklah daun naga buana (Phyllanthus pulcher), daun kecubung (Datura metel)  dengan bedak sejuk oleh pengamal di Selangor manakala daun peria bulan (Cardiospermum halicacabum), sirih air (Peperomia pellucida) dan umbisi piai (Acrostichum aureum) oleh pengamal di Kedah.

Sediaan ikhtiar rawatan untuk diminum lazimnya merupakan air bercampur ramuan yang telah melalui proses asahan pada permukaan kesat bergerutu atau air rebusan ramuan. Pengamal di Selangor contohnya, menyarankan pesakit meminum air rebusan daun ketum (Mitragyna speciosa), gambir (Uncaria gambir), daun sirih (Piper betel) serta garam jantan selama seminggu.

Terdapat juga petua bagi proses penyediaan ramuan dan pantang larang yang perlu dipatuhi oleh pesakit sepanjang tempoh perawatan. Di Langkawi contohnya, sediaan untuk rawatan melibatkan akar melur (Jasminum sambac), akar bunga cina (Gardenia agusta) yang diambil dengan mengadap arah matahari terbenam bersama akar rumbia (Metroxylon sagu) yang tergantung. Pesakit dilarang memakan tumbuhan menjalar, gatal dan berminyak. Di Terengganu pula, sapuan pes ubi keledek (Ipomea batatas) dilengkapkan lagi dengan amalan berpantang dari memakan daging.



SUMBER/ PENULIS: Pasukan Penyelidikan Pengetahuan Tradisi, FRIM (Dr Mastura Mohtar & Rohana Sahdan)


PENAFIAN: Artikel ini merupakan sebahagian daripada usaha mendokumentasikan perubatan tradisional dan penggunaan tumbuhan ubatan dalam kalangan masyarakat Melayu dan orang asli. Artikel ini bukan pengesahan tumbuhan dan cara penggunaan sebagai preskripsi untuk merawat sebarang penyakit. Tiada sebarang kajian saintifik dijalankan untuk mengesahkan keberkesanan dan keselamatannya dan juga kesahihan preskripsi yang direkodkan. Pembaca dan pengguna digalakkan untuk merujuk pegawai perubatan dan pengamal perubatan tradisional yang berdaftar sebelum menggunakan tumbuhan ubatan untuk melegakan sebarang simptom atau keadaan kesihatan. Penulis tidak bertanggungjawab atas sebarang penggunaan tumbuhan ubatan atau kesan sampingan yang memudaratkan pengguna.




Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

52109 Kepong, Selangor
Tel: +603-6279 7000
e-mel: [email protected]

Disclaimer:

The Government of Malaysia and National Department for Culture and Arts shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website. Copyright © 2022 National Department For Culture And Arts. Best viewed using IE 8.0 or later & Firefox 3.0 or later with minimum resolution of 1024 x 768