Rodat amat popular dalam kalangan masyarakat di negeri Terengganu dengan kemuncaknya pada sekitar tahun-tahun 1950an hinggalah awal tahun 1970an.
“Rodat” bermaksud seni nyanyian
Arab dengan iringan rebana “tar”. Ada berpendapat kesenian ini telah dibawa ke rantau
ini dari Timur Tengah melalui aktiviti perniagaan dan perdagangan kira-kira
seabad yang lalu. Setibanya mereka di Teluk Terengganu, anak-anak kapal berkumpul
sambil menyanyi diiringi alat muzik dipanggil ‘tar’. Alunan lagu, suara yang
lunak berserta bunyi alat muzik tersebut menarik minat penduduk tempatan.
Saiz tar lebih kecil sedikit daripada rebana hadrah, diperbuat daripada kayu
leban, manakala pada permukaan yang dipalu daripada kulit kerbau. Di sekeliling
bingkainya terdapat tiga kepingan tembaga iaitu kerincing atau caping yang
turut menghasilkan bunyi.
Rodat biasanya dipersembahkan
pada majlis-majlis keramaian antaranya perkahwinan, sambut menantu, berkhatan,
bertindik, dan sambut tahun baru.
Dahulunya Rodat dimainkan di
atas tilam di dalam rumah sahaja. Pelenggok atau disebut Awak Dayong hanyalah penari-penari
lelaki, biasanya seramai 12 sahaja, yang duduk atau berdiri sebaris tanpa alat muzik,
berhadapan pengadi yang bermain tar. Pada era tahun-tahun 1950an Rodat dipopularkan
dengan penampilan penyanyi dan penari wanita seramai lima orang dipanggil Mak
Inang.
Keunikan Rodat ialah pada persembahan
dan mesej, serta diperkuatkan lagi dengan unsur-unsur Islam yang merakamkan pujian
kepada Allah dan kisah sejarah para rasul. Dikatakan terdapat antara 50 hingga 60 buah lagu, namun yang masih
popular adalah seperti berikut:
Ya Hayyum Ya Qayyum
(Nama-nama Tuhan yang
menghidupkan)
Allah La illaha
illallah
(Tiada Tuhan yang
disembah melainkan Allah)
La illaha illa Ya
Karim
(Tidak ada Tuhan melainkan
Engkau)
Ya Rasul Ya Rasulullah
(Wahai Rasul, wahai pesuruh
Allah)
Zikri Nabi Al-Mukhtar
(Nabi yang terpuji)
Sillatullah
(Hubungan dengan Tuhan)
No. 1591 B, Kampung Surau Panjang,
Atas Tol 21070, Kuala Terengganu,
Terengganu.
Tel : 017-9304494